KEMAHIRAN BERFIKIR
ARAS TINGGI (KBAT) DALAM PENGAJARAN TATABAHASA BAHASA MELAYU
PENGENALAN
Penekanan aspek HOTS atau Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
(KBAT) dan i-Think atau Peta Pemikiran dalam pengajaran tatabahasa dewasa ini
amat dititikberatkan oleh pihak kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) menggariskan enem cirri utama yang perlu
ada pada setiap murid untuk membolehkan mereka bersaing pada peringkat global,
iaitu integrasi nasional, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika
kerohanian, pengetahuan serta kemahiran berfikir. Oleh hal yang demikian, dalam
pengajaran dan pembelajaran di sekolah, semua aspek yang dinyatakan ini perlu
diterapkan oleh guru kepada murid. Dalam pengajaran tatabahasa, aspek kemahiran
berfikir perlu diterapkan terutamanya Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
Untuk membantu murid bagi mempraktikkan kemahiran ini, program i-Think atau
Peta Pemikiran juga diperkenalkan.
Kemahiran Berfikir
Aras Tinggi (KBAT)
Usaha untuk membina KBAT dalam kalangan murid sebenarnya
berasaskan Taksonomi Bloom dan beberapa taksonomi yang lain. Taksonomi Bloom
dibangunkan oleh Benjamin Bloom pada tahun 1950-an. Beliau telah memperkenalkan
suatu hierarki enam peringkat perkembangan pemikiran yang menjadi semakin
kompleks dan mencabar. Tahap pemikiran boleh digunakan untuk membina soalan
yang merentasi semua peringkat persekolahan dan dalam semua bidang
pembelajaran. Pada tahun 1990-an, Lorin Andersen telah membuat penambahbaikan
pada taksonomi. Mengikut Bloom, enam peringkat pemikiran tersebut adalah
seperti yang berikut:
1.
PENGETAHUAN
2. KEFAHAMAN 3. APLIKASI 4. ANALISIS
5. SINTESIS 6. PENILAIAN
Bahasa pemikiran yang digambarkan melalui taksonomi ini
adalah seperti berikut:
MENGINGAT
Bahasa Pemikiran – Saya
dapat mengingat maklumat.
Kata kunci – mengecam,
mengulang, menyenaraikan, menggambarkan, mengenal pasti, menamakan
MEMAHAMI
Bahasa Pemikiran – Saya
dapat mengingat dan menjelaskan idea dan konsep.
Kata kunci – mentafsir,
menjelaskan, memberikan contoh, meringkaskan, membuat kesimpulan, menunjukkan
pemahaman, menterjemah
MENGAPLIKASI
Bahasa Pemikiran – Saya
dapat menggunakan pengetahuan dalam keadaan serupa atau baharu
Kata kunci – melaksanakan,
menunjukkan, menjalankan, menggambarkan, menggunakan.
MENGANALISIS
Bahasa Pemikiran – Saya
dapat mengekstrak keluar idea-idea penting.
Kata kunci –
membandingkan, sebaliknya, mengklasifikasikan, menyusun.
MENILAI
Bahasa Pemikiran – Saya
dapat membuat beberapa pertimbangan dan keputusan
Kata kunci – menyemak,
mempertimbangkan, menguji, membuat keputusan, membuat hipotesis
MENCIPTA
Bahasa Pemikiran – Saya
dapat memikirkan idea-idea baharu dan cara-cara baharu untuk menggunakan
maklumat.
Kata kunci – mereka
bentuk, mencipta, merancang, membina, menghasil
KEMAHIRAN BERFIKIR
ARAS TINGGI (KBAT) DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN TATABAHASA
Aspek HOTS atau Kemahiran Berfikir
Aras Tinggi dan i-Think atau Peta Pemikiran dalam pengajaran tatabahasa memang
tidak dapat dipisahkan. Kedua-dua aspek ini perlulah digabungjalinkan dalam
PdP. Oleh hal yang demikian, aspek ini perlu diterapkan dalam pengajaran dan
pembelajaran (PdP) tatabahasa pada peringkat sekolah rendah. Dalam hal ini,
guru disarankan menyepadukan aspek KBAT dalam setiap aspek tatabahasa. Dalam konteks
ini, guru digalakkan untuk menggabungjalinkan aspek ejaan, kata, frasa, klausa
dan ayat dalam PdP.
Untuk melaksanakan KBAT dalam PdP,
guru mestilah mampu mengeksploitasikan kebolehan atau daya fikir murid supaya
murid mampu menyelesaikan masalah tatabahasa yang timbul. Dalam hal ini, guru
mestilah bijak memanipulasikan Kemahiran Berfikir Aras Rendah (KBAR) dan
Kemhiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
KBAR, jika didasarkan Taksonomi
Bloom, melibatkan aras pengetahuan dan kefahaman. Pada peringkat ini, murid
diperlukan untuk melakukan proses membanding beza, membuat huraian atau
menyenaraikan maklumat yang telah dipelajari.
Dalam PdP tatabahasa, aspek-aspek
yang bersifat teknikal seperti ejaan, dan istilah dapat diselesaikan oleh murid
dengan menggunakan KBAR. KBAT pula melibatkan proses membuat aplikasi,
analisis, sintesis, dan penilaian. Untuk menyelesaikan masalah tatabahasa,
seseorang murid itu perlulah melakukan proses memahami, menterjemah,
menganalisis dan memanipulasikan maklumat. Selepas itu, murid akan menilai
maklumat secara kritis, kemudian membuat inferen dan akhirnya membuat
generalisasi. Dalam aspek tatabahasa, murid dapat membuat generalisasi dan
seterusnya mencipta rumus untuk meningkatkan kefahaman tentang sesuatu aspek
tatabahasa.
Dalam PdP tatabahasa, penguasaan
yang paling asas ialah murid perlu mengenal kata dan membezakan jenis kata.
Pada peringkat yang seterusnya, murid perlu mengenal frasa, klausa dan ayat.
Aspek KBAT atau HOTS pula ialah murid perlu mempunyai kemahiran untuk menyelesaikan
masalah tatabahasa. Bagi guru pula, KBAR dan KBAT dapat digunakan untuk
membantu murid membina rumus tentang sesuatu peraturan atau hukum bahasa.
Melalui cara ini, murid tidak diajar supaya menghafal peraturan tanpa
mengetahui sebab-sebabnya. Sebaliknya, murid dibimbing supaya mengkaji,
meneliti, menilai, memahami dan seterusnya mencipta rumus, kaedah atau teknik
tentang cara untuk menguasai sesuatu sistem bahasa. Pada akhirnya nanti, murid
dapat memahami peraturan tersebut dan mengaplikasikannya dengan betul. Oleh hal
yang demikian, guru perlu menerapkan keenam-enam kemahiran tersebut kepada
murid.
Info yang baik
ReplyDeleteInfo yang baik
ReplyDelete